Menurut kajian yang telah dilakukan oleh The International Agency for Research on Cancer (IARC)/WHO dianggarkan penyakit kanser akan meningkat sebanyak 18.1 juta kes pada tahun 2018 dengan kematian disebabkan kanser sebanyak 9.6 juta.. Menurut agensi ini juga seorang daripada 5 orang lelaki dan seorang daripada 6 orang wanita akan menghidap kanser ketika hayat mereka. Manakala seorang dari 8 orang lelaki dan seorang dari 11 orang wanita akan meninggal gara-gara masalah tersebut.
Selain itu IARC/WHO juga menganggarkan tiga jenis kanser iaitu kanser paru-paru, kanser payudara dan kanser kolorektal adalah kanser yang banyak terjadi dalam tahun 2018 sehinggakan 1/3 kejadian kanser dan kematian disebabkan kanser adalah hasil gabungan ketiga-tiga kanser tersebut. Manakala 5 jenis kanser yang menjadi penyebab kematian disebabkan kanser menurut turutan ialah kanser paru-paru yang menduduki tempat pertama sebanyak 18.4% diikuti oleh kanser kolorektal (9.2%), kanser perut (8.2%), kanser hati (8.2%) dan kanser payudara (6.6%)
Apa yang membuatkan masalah ini semakin meningkat?
Menurut kajian IARC/WHO ada banyak faktor penyebab termasuk peningkatan populasi penduduk dunia, faktor penuaan dan juga kaitan dengan pertumbuhan ekonomi dan sosial. Kalau dahulunya kita kaitkan masalah kanser dengan jangkitan kuman dan kemiskinan, sekarang trend sudah berubah. Peningkatan negara industri, gaya hidup yang tidak sihat, pencemaran dari pelbagai aspek dengan penghasilan radikal bebas yang merosakkan sel normal dan gabungan genetik menyebabkan peningkatan penyakit kanser yang tinggi.
Sebenarnya bagaimana kanser terjadi?
Badan kita terdiri dari berjuta-juta sel dan kanser bermula apabila adanya perubahan pada satu sel atau satu kelompok sel. Setiap satu sel di dalam badan mempunyai fungsi yang khusus. Fungsi, pertumbuhan, pembahagian dan kematian sel dikawal oleh pusat kawalan yang dinamakan nukleus. Di dalam nukleus terdapat kromosom yang terdiri daripada berjuta-juta gen yang mengandungi DNA dimana kod data untuk sel berfungsi tersimpan. Setiap gen (yang terdiri dari protein dan molekul yang dinamakan RNA) akan menentukan sel itu sel apa, apa fungsinya, pertumbuhan dan pembahagian sel dan bila sepatutnya sel itu mati.
Apabila berlaku mutasi iaitu perubahan pada gen, arahan yang dikeluarkan oleh gen akan terganggu atau arahan yang salah dikeluarkan menyebabkan sel akan rosak. Sel mungkin akan terlebih tumbuh atau membahagi tanpa kawalan atau sel berhenti bertumbuh dan membahagi dan akhirnya fungsi sel terganggu.
Mutasi merupakan satu perkara yang merbahaya terutamanya apabila berlaku pada gen yang penting iaitu:
1) Gen yang berfungsi untuk pembahagian sel iaitu oncogenes
Oncogenes ini penting untuk sel bertumbuh dan membahagi. Mutasi pada gen ini akan menyebabkan sel bertumbuh dan membelah tanpa kawalan sehingga menyebabkan terhasilnya tumor dan kanser.
2) Gen yang berfungsi menghentikan pembahagian sel iaitu tumor suppressor genes
Apabila berlaku mutasi pada gen ini, sel tidak menerima signal untuk membahagi menyebabkan sel akan terus membelah menyebabkan kanser berlaku. Contoh tumor suppressor gene adalah p53.
3) Gen yang berfungsi untuk membaiki kerosakkan gen lain iaitu DNA repair genes
Kerosakkan DNA badan kita boleh berlaku walau dalam keadaan normal. Sekiranya berlaku kerosakkan pada DNA, DNA repair gene akan membantu memperbaiki kerosakkan tersebut. Tetapi apabila mutasi berlaku pada DNA repair gene itu sendiri, kerosakkan pada mana-mana DNA tidak diperbaiki menyebabkan fungsi sel terganggu dan akhirnya menghasilkan kanser.
4) Gen yang akan mengarahkan sel untuk mati iaitu self destruction genes
Gen ini membantu dalam proses apoptosis iaitu kematian sel yang telah diatur berlaku secara sendirinya apabila sel mengalami kerosakkan atau apabila sel sudah tua. Apabila ada yang salah atau tidak normal pada sel, sel akan mati untuk mengelakan sel rosak ini tumbuh menjadi sel kanser.
Setiap manusia akan mendapat separuh DNA dari ayah dan separuh lagi dari ibu. Apabila gen yang telah bermutasi diturunkan kepada anak, risiko untuk anak tersebut mendapat kanser lebih tinggi. Selain itu, mutasi gen juga boleh berlaku apabila kita terpapar dengan beberapa faktor seperti bahan kimia dari asap rokok, asap kenderaan, apa-apa saja bahan kimia dipersekitaran atau dari radiasi samada dari sinar UV atau dari mesin dan gajet yang ada disekeliling kita.
Kita mungkin tidak dapat memeriksa setiap gen yang diturunkan dari ibu dan ayah kita adakah ianya normal atau tidak, tetapi kita dapat mencuba sedaya-upaya untuk menjauhkan diri dari beberapa faktor luar yang mungkin penyebab mutasi gen dalam badan kita. Ubah gaya hidup dan cuba untuk tidak terpapar dengan bahan kimia yang tidak penting atau radiasi yang tidak diperlukan, pengambilan diet yang sihat, seimbang dan tinggi antioksidan serta hidup secara aktif mampu mengurangkan risiko terkena kanser.
Comments
Post a Comment